Thursday, January 21, 2010

sebuah kedewasaan

Tahun baru buat diriku dimulakan dengan kehilangan orang yang tersayang, orang yang paling rapat dalam hidup aku dan adik beradik lain. Kini tinggal aku dan bapak aku sahaja kat rumah.

Seminggu kemudian adik bongsu aku terpaksa berjauhan dengan keluarga nun jauh di Perlis kerana melanjutkan pelajaran. berjejeran air mata si bongsu itu kerana berpisah dengan keluarga, tambahan pulak mak baru sahaja meninggal dunia. Sabar je la dik...

kerja-kerja di sekolah pulak semakin banyak, biasalah awal tahun , sementelah pulak terpaksa menjadi s/u koko, hari sukan sekolah semakin dekat. semakin sibuk rasanya.

apa-apa hal banyak perkara yang berubah dalam kehidupan aku di tahun 2010 ini, perubahan yang mendewasakan aku. tentang kehidupan , tentang dunia ini, tentang realiti sebenar seorang insan.

Friday, January 8, 2010

Saat terakhir...perpisahan yang memilukan.

1 Jan 2010 Jumaat

Sejak Isnin mak tak sihat, tak lalu nak makan cuma minum air aje. sampailah hari Jumaat, mak hanya makan 2 suap nasi, sesudu nestum dan beberapa sudu sup aje.

Malam tu aku tak tido sebab jaga mak. Pagi Jumaat aku panggil jiran untuk mengurut mak, selepas urut aku mandikan mak dengan air rebusan daun, mak mandi atas kerusi roda je. lepas mandi tu aku tengok mak semakin lemah.

akhirnya aku bercadang nak bawak mak pegi hospital walaupun mak membantah keras. bersama-sama adik aku yang baru balik dari Kelang, aku bawak mak terus ke hospital.

keadaan mak disahkan kritikal dan terus dimasukkan ke ICU. Semua adik beradik aku telah berkumpul di hospital...sama-sama tunggu mak. Doktor mengesahkan keadaan mak tenat, sehingga terpaksa diberikan bantuan pernafasan melalui mesin.

2 Jan 2010 Sabtu

Semua adik beradik dan bapak tak berani nak tinggalkan mak, keadaan mak semakin buruk dengan tekanan darah semakin menurun. bacaan surah Yasin tak berhenti-henti dibaca kami adik beradik .saudara-mara terdekat datang semua melawat mak. paling menyayatkan hati abang sulung mak menangis teresak-esak melihat adik bongsunya. tak pernah aku tengok pakdhe berkeadaan begitu sedih sekali.

3 Jan 2010 Ahad

kami adik beradik bersilih ganti keluar masuk ICU untuk membisikkan kalimah Tauhid buat mak sehingga menimbulkan rasa kurang senang nurse kat dalam ICU. Tapi kami semua tak pedulik, akhirnya mak sedar. Mak mintak air dan nasik. Sedih sangat sebab keadaan mak tak membolehkan mak minum air, takut air tu masuk dalam paru-paru. Doktor kata air tak perlu sebab badan mak memang dah cukup air yang disalurkan melalui tiub.

aku tak sampai hati, aku seludupkan air buat mak minum, mak nampak lega lepas minum air. keadaan mak semakin baik dan boleh bercakap. kami sekeluarga rasa lega dan berharap mak dapat segera sembuh.
esok dah mula kerja, aku balik ke rumah, kakak aku balik ke putrajaya. yang tinggal jaga mak aku cuma adik lelaki aku dan adik pompuan aku yang kebetulan cuti semester.

4 Jan 2010 Isnin

kakak aku tak jadi balik ke putrajaya sebab penat sangat, rehat kat rumah dan bercadang bertolak ke putrajaya sebelum subuh. Tapi sebab penat sangat kot kakak aku terlajak bangun, jadi bertolak dari rumah pukul 6.30 pagi. aku pulak bersiap untuk pergi sekolah, pukul 6.35 pagi aku menerima panggilan dari adik aku yang jantung mak berhenti berdenyut, doktor sedang berusaha. aku terus panggil kakak aku supaya patah balik dan terus pagi ke hospital. dalam perjalanan ke hopital, adik aku telefon yang mak sudah pergi menemui Penciptanya buat selama-lamanya.

Pukul 7.oo pagi mak disahkan meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat kegagalan kedua-dua buah pinggang dan jantung.

Aku merasa sedih yang teramat sangat, selama lebih kurang 10 tahun aku merantau, dan akhirnya aku kembali ke kampung halaman untuk menjaga mak, tapi aku hanya berpeluang bersama mak hanya 2 tahun sahaja.
sekali lagi hidup aku berubah dengan kehilangan orang yang disayangi. hidup aku terasa kosong selepas pemergian mak. aku terlalu takut lagi untuk kehilangan orang tersayang. perpisahan yang sangat menyakitkan yang perlu aku harungi lagi.

Al-fatihah... selamat tinggal mak, damailah disana, berehatlah sepuasnya dan tunggulah kami yang kerinduan pada mak.....